PPSMI: Kerajaan harus berani buat keputusan

Dasar PPSMI yang dilaksanakan bermula tahun 2003 adalah tidak berjaya atau bahasa mudahnya gagal. Hal ini diakui sendiri oleh Menteri Pelajaran, tan Sri Muhyiddin Yassin ketika temubual dalam rancangan Soal Jawab di tv3.. Jadi, tunggu apa lagi?? Janganlah kita mempertaruhkan masa depan anak bangsa kita.

PAGE guna taktik halus lambat mansuh PPSMI
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Basir Zahrom

2011/11/11
Kerajaan tak perlu layan helah kumpulan minoriti

KUALA LUMPUR: Permintaan Kumpulan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) supaya murid Tahun 1 dibenarkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tahun depan adalah strategi mereka untuk melambatkan lagi pemansuhan dasar berkenaan.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganggap desakan PAGE yang dipersetujui Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu adalah taktik halus untuk mencapai hasrat mereka supaya Kementerian Pelajaran akhirnya menubuhkan Sekolah Kebangsaan PPSMI.
Persatuan Penulis Nasional (PENA) menegaskan permintaan terbaru PAGE dan JMM itu akan mengakibatkan 10 tahun lagi berlangsung PPSMI berbanding sembilan tahun sekarang kerana satu lagi kohort terbaru terpaksa dihabiskan.
Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata peralihan secara berperingkat yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah cukup bertoleransi walaupun tempoh pemansuhan PPSMI sangat lama berbanding pengenalan dasar itu pada 2003.

Katanya, PAGE hanya mencari helah untuk mencapai matlamatnya dan kesan daripada tuntutan itu akan memusnahkan sistem di sekolah dari segi guru, buku mahupun peperiksaan.

“Tuntutan mereka tidak perlu dilayan jika kerajaan benar-benar mahu menghapuskan PPSMI. Jangan terlewat lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Gabungan Pemansuhan PPSMI (GMP) yang menaungi 48 NGO di bawahnya kecewa dengan pendekatan pemansuhan berperingkat atau ‘soft landing’ yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.
Pengerusinya, Prof Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, Menteri Pelajaran akhirnya tunduk kepada kumpulan minoriti yang mahu PPSMI diteruskan dan pemansuhan hanya akan berlaku pada 2021.

Katanya, GMP kecewa kerana semasa menghapuskan bahasa Melayu dulu dalam pelajaran Sains dan Matematik, masanya hanya dua tahun.

“Ini dilakukan dengan pelaksanaan PPSMI bermula dengan Tahun 1, Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tingkatan 6 Rendah tanpa kasihan belas pada pelajar yang sedang mengikuti pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

“Apabila tiba giliran menghapuskan bahasa Inggeris, kementerian begitu kasihan kepada pelajar belajar dalam bahasa Inggeris hingga wujud istilah ‘pendaratan lembut’ dan pemansuhan bermula dengan Tahun 1 saja,” katanya yang juga bekas profesor dalam bidang Fizik-Matematik Universiti Kebangsaan Malaysi.

Sementara itu, Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai permintaan terbaru pihaknya kerana bimbang kenyataannya akan disalah erti.

p/s:Artikel ini dipetik daripada beritaharian online.


0 ulasan:

Copyright © 2016 LaKarAn haTi and Blogger Themes.